Anatomi Rolex

Gerakan

Pegas rambut Parachrom

Pegas rambut Parachrom

Keunikan warna biru?

Inilah rupa pegas rambut Parachrom kami. Komponen ini ialah penjaga ketepatan kronometri jam tangan. Dilancarkan pada tahun 2005, direka sepenuhnya dan dikilangkan oleh kami sendiri, inilah puncak kemampuan pegas rambut aloi logam. Skala imej itu mungkin menimbulkan rasa tidak percaya.

Bahagian tepi pegas rambut lebih nipis daripada sehelai rambut dan lebih ringan daripada sebutir mutiara. Malah, apabila bergelung, saiz diameter tidak melebihi beberapa milimeter. Pegas ini terlindung daripada anasir luar oleh sebuah penutup yang sangat kalis air sehingga dinamakan "Oyster". Tidak perlu dinyatakan lagi, Parachrom jarang sekali dapat dilihat. Jadi mengapa kami perlu mengambil kira warna elemen ini? Ini kerana biru melambangkan tradisi kecemerlangan pembuatan jam tangan kami. Itulah warna sebenar aloi niobium, zirkonium dan oksigen kami yang unik apabila teranod untuk menghentikan proses pengoksidaan. Biru ini penting kepada kami kerana melambangkan prestasi tahan lama yang kami pertahankan. Pegas rambut ini tidak sensitif terhadap medan magnet, tidak terkesan oleh variasi suhu, serta tahan kejutan dan kakisan. Oleh itu, setiap Rolex yang dilengkapi dengan pegas rambut Parachrom akan kekal berdetik mengikut rentak yang tepat.

Pegas rambut Parachrom
Pegas rambut Syloxi

Pegas rambut Syloxi

Si kecil yang perkasa

Ini ialah Pegas rambut Syloxi kami. Dibuat daripada silikon dan diperkenalkan pada tahun 2014 pada kaliber 2236, ia dihasilkan sepenuhnya di dalam kilang kami.

Geometri unik komponen pengayun ini menjamin ketepatan kronometrik jam tangan. Walaupun direka bentuk untuk model kami yang berdiameter kecil dan sederhana serta jam tangan kami yang paling nipis, saiz yang kecil tidak mengurangkan kualiti. Elastik dan tegap, ringan dan tahan lasak: walaupun pada skala mikron, pegas rambut Syloxi memiliki semua ciri yang menjadikan pegas rambut ini perkasa.

Bolosan Chronergy

Chronergy

Tiada yang terlepas daripada pandangan  kami

Ini ialah bolosan Chronergy kami yang diperkenalkan pada tahun 2015. Mekanisme ini menyalurkan tenaga dengan ketepatan yang jitu untuk mengawal nadi jam tangan. Roda dan penambat telah digarap semula untuk mengoptimumkan kecekapan sistem.

Prinsip keseluruhannya mudah: penambat dengan dua palet membebaskan putaran roda berlekuk dalam aturan gerakan yang begitu tepat. “Tik”, palet pertama menghentikan roda. “Tok”, melepaskan roda dan palet kedua pula menghentikan putaran. Dan begitulah seterusnya. Ini berlaku lapan kali sesaat tanpa melangkau satu rentak pun. Itu menjadikan 28,800 pusingan sejam, berjumlah 14,400 “tik” dan seberapa banyak “tok”. Irama metronomik dan berterusan yang menggerakkan setiap roda dan gigi roda. Yang kemudiannya, menghidupkan jam tangan. Hal ini membuktikan lagi keunggulan kami dalam menguasai masa.

Chronergy escapement
Paraflex

Paraflex

Menakjubkan!

Ini ialah Paraflex, penyerap kejutan kami yang diperkenalkan pada tahun 2005. Ini ialah elemen yang sangat penting dalam melindungi gerakan horologi kami. Yang kami reka dan hasilkan sendiri. Tujuan khusus elemen ini adalah untuk meneutralkan sebarang kesan akibat hantukan dan hentakan dalam kehidupan seharian.

Orang mungkin tertanya-tanya bagaimana perisai yang amat kecil, sebesar sebutir beras, boleh mencapai kejayaan sedemikian? Hal ini tercapai daripada interaksi dua sifat berasingan, bagaikan gerak tari malar, yang sentiasa mengimbangi impak segala kejutan pada setiap masa. Paraflex bergerak ke satu arah, kemudian ke arah yang lain, semuanya dalam pecahan sesaat. Kadangkala, unsur ini membengkok pada setiap hentaman untuk menyebarkan tenaga, kemudian kembali ke bentuk asal. Pada masa yang lain, unsur ini menyesarkan kedudukan sendiri untuk mengekalkan kefungsian roda imbang dan penambat bolosan. Hal ini menjamin prestasi kronometri kaliber dalam semua keadaan. Melalui jalinan unik ubah bentuk dan anjakan inilah Paraflex mengekalkan gerakan jam tangan dengan pergerakan tersendiri.

Paraflex
Rotor Perpetual

Rotor Perpetual

Pergerakan berkekalan

Ini ialah rotor Perpetual. Mekanisme pemutaran automatik Rolex. Unsur ini membolehkan jam tangan sentiasa diputar oleh pergerakan pergelangan tangan. Dicipta di bengkel kami, kemudian dipatenkan, rotor ini diperkenalkan pada tahun 1931. Kami tidak henti-henti menambah baik inovasi rintis ini yang telah membuat anjakan paradigma dalam dunia pembuatan jam.

Dalam keadaan yang tidak seimbang pada setiap masa, pemberat berayun berbentuk bulan separuh ini sentiasa ditarik oleh graviti bumi. Oleh itu, pemberat berputar mengikut setiap pergerakan pemakai, dan berayun ke satu arah atau ke arah yang lain. Tenaga yang dijana oleh ayunan ini dipindahkan ke pegas utama, yang sentiasa berputar melalui sistem pintar yang terdiri daripada penyongsang dan rangkaian gear. Tenaga tersimpan ini dilepaskan serentak untuk mengaktifkan gerakan horologi, yang akhirnya menggerakkan jarum jam tangan. Dengan teratur. Dengan tepat. Walaupun keseimbangan yang kita inginkan, namun ketidakseimbangan itulah yang menjadi pemangkin untuk kita bergerak, tanpa henti.

Perpetual Rotor
Paparan Hari

Paparan hari

Tiada jalan pintas

Ini ialah paparan cakera hari kami yang tidak asing lagi, yang datang secara eksklusif pada jam Day-Date kami. Diperkenalkan pada tahun 1956, ia tersedia dalam 26 bahasa sejak tahun 1973.

Hari baharu muncul tepat pada jam dua belas malam, selari dengan cakera tarikh. Kami memilih untuk memastikan nama ketujuh-tujuh hari dipaparkan sepenuhnya. Tanpa ringkasan. Ini mungkin perkara kecil, tetapi ia bukti usaha kami untuk tidak memandang remeh pada butiran. Perincian itulah kunci kepada kecemerlangan pencapaian dan keunggulan reka bentuk.

Day Display
Kalendar Saros

Saros

Kenapa harus merumitkan keadaan?

31, 28, 31, 30, 31, 30, 31, 31, 30, 31, 30, 31: urutan bulan dalam setahun tampak lebih rumit daripada yang dilihat. Dari segi horologi, ketakkonsistenan ini mesti ditangani apabila mencipta kalendar tahunan seperti Saros, yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 2012 pada Sky-Dweller.

Seperti semua kalendar tahunan, kalendar ini membezakan sendiri bulan yang mempunyai 30 dan 31 hari, dan hanya perlu ditetapkan sekali setiap tahun, apabila Februari bertukar kepada Mac. Reka bentuk kompleks sebegitu biasanya memerlukan mekanisme rumit yang begitu indah, yang mengandungi tuil, sesondol dan pegas yang tidak terkira banyaknya. Namun, keindahan berbeza yang sentiasa menjadi pilihan kami ialah kesederhanaan. Tidak kira betapa sukar untuk dicapai. Kami mengambil masa bertahun-tahun untuk menjayakan pembangunan kalendar tahunan kami, hanya dengan menggunakan empat roda gear dan dua nisbah gear. Tidak lebih daripada itu. Rekaan ini sungguh cekap sehingga prestasi dan ketahanan gerakan tidak terjejas sama sekali. Sebaliknya, membolehkan tenaga yang dihasilkan oleh ciri tersebut diurus dengan sempurna. Mungkin itulah sebabnya rekaan ini dianggap sebagai satu kehebatan horologi. Saros. Kerumitan yang menjana kepintaran.

Saros Calendar

Kepakaran Membuat Jam Tangan Rolex

Kecemerlangan sedang dicipta